JERSI JDT MUSIM 2025/2026 TAMPIL EKSKLUSIF, LEBIH ‘GARANG’

Jersi baharu yang bakal digunakan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025/2026. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – ‘Ikonik, elegan, tradisi, patriotik dan naluri sang penakluk’. Itu antara paparan adunan yang dapat ditafsirkan menerusi reka bentuk pengenalan jersi baharu yang bakal digunakan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim 2025/2026.

 

Dengan semangat ‘Sky Was Never The Limit’, rekaan jersi baharu JDT musim ini tampil lebih eksklusif, moden dan ‘garang’, selain turut memaparkan logo rakan mobiliti rasmi iaitu UMW Toyota Motor, sekali gus menunjukkan keinginan dan cita-cita besar pasukan Harimau Selatan untuk terus mendominasi kancah bola sepak negara dan antarabangsa.

 

Tiga rekaan diperkenalkan iaitu ‘home kit’ dengan kombinasi tradisi biru dan merah yang ikonik, manakala rekaan ‘away kit’ serba merah yang membawa kelainan berbanding warna putih pada musim sebelum ini, selain ‘third kit’ atau ‘alternate’ berwarna biru ‘hyper turquoise’ yang telah diperkenalkan semasa Jelajah Pra-Musim JDT di Sepanyol, baru-baru ini.

 

Selain itu, jersi JDT musim ini masih mengekalkan teknologi ‘Nike Dri-FIT’ yang memberikan keselesaan maksima dan sesuai untuk aktiviti harian yang turut menggabungkan fabrik penyerap peluh dengan panel jejaring beraliran udara bagi memberikan rasa yang ringan, kering dan selesa kepada pemakainya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran jersi baharu JDT bagi musim 2025/2026 yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan artis seperti Aliana Azizi, Killa Driz, 53 Universe dan Alyph, selain pertunjukan dron dan pancaran laser serta penampilan istimewa daripada Boys of Straits (BOS).

 

#JDT
#JohorDarulTa’zim
#SkyWasNeverTheLimit
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor