JETCO BANTU RANCAK SEKTOR PELANCONGAN DI JOHOR


YBhg Saifuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO menyantuni rombongan pemain industri pelancongan Singapura dalam satu majlis minum petang di Hotel Trinidad Suites, Puteri Harbour. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura terus memainkan peranan signifikan menjayakan hasrat Kerajaan Negeri merancakkan ketiga-tiga sektor berkenaan dengan penglibatan pemain industri antara Johor dan Singapura.

 

Menerusi siri ketiga program Networking Lunch & Johor Tourism Product Update, JETCO menyediakan platform buat 30 pemain industri pelancongan bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala seterusnya menerokai potensi produk pelancongan untuk dibangunkan di negeri ini.

 

Di samping itu, strategi memperkasa produk terbaharu melibatkan segmen ekopelancongan, sukan dan korporat turut dikongsi oleh pemain industri pelancongan tempatan yang secara tidak langsung mencerminkan kesediaan mereka menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Antara produk terbaharu yang bakal mewarnai sektor pelancongan ialah pakej lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim, sukan golf di Forest City Resort dan The Els Club, Desaru Coast, serta pakej percutian caravan bagi menambah kepelbagaian daya tarikan pelancong ke Negeri Johor.

 

Usaha JETCO menghimpunkan pemain industri pelancongan mendapat pujian Zamsuzliana Ahmad, Pengurus Besar Jualan Desaru Coast yang menyifatkan program tersebut memberi peluang kepada semua pihak memperkenalkan produk pelancongan Johor.

 

Malah, sesi dua hala berkenaan juga membantu pemain industri mencapai objektif memastikan Tahun Melawat Johor 2026 dapat menarik kehadiran 12 juta pelancong menerusi strategi pelancongan yang komprehensif dan bersepadu.

 

Sementara itu, Lee Yew Lee, Pengarah Pelancongan ISE Travel Pte Ltd memuji usaha Kerajaan Johor menyarankan produk pelancongan utama di negeri ini mendapat persijilan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) untuk memberi perkhidmatan pada piawaian terbaik.

 

Terdahulu, YBhg Saifuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO menyantuni rombongan pemain industri pelancongan Singapura dalam satu majlis minum petang di Hotel Trinidad Suites, Puteri Harbour.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor