JETCO JALIN KERJASAMA STRATEGIK DENGAN ROME BUSINESS SCHOOL

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JETCO menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JETCO dan RBS yang ditandatangani oleh YBhg Encik Mohd Shahrin Dato’ Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO dan Prof. Dr. Antonia Ragusa, Dekan serta Pengasas RBS. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura terus memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rome Business School (RBS) bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing selaras dengan keperluan semasa industri.
Menerusi program bertemakan ‘Supply Chain Management Competencies – Leading Edge Training to Update and Upskill Talent’, inisiatif ini akan menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan aspek peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan penglibatan 37 bakat tempatan dalam kumpulan pertama.
Kerjasama ini bukan sahaja memberi peluang kepada tenaga kerja Johor untuk menguasai kemahiran baharu yang sejajar dengan permintaan industri moden, malah turut menjadi platform kepada JETCO untuk mempromosikan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) kepada pelabur antarabangsa.
Melalui kerjasama strategik ini, JETCO juga dapat memainkan peranan penting dalam menarik minat pelabur luar untuk melihat potensi besar Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, selain membantu Kerajaan Negeri menyediakan tenaga mahir dan bakat tempatan yang memenuhi kehendak keperluan pelabur serta industri berimpak tinggi.
JETCO turut menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh RBS terhadap potensi dimiliki Johor serta menyambut baik komitmen institusi pendidikan berprestij itu untuk membantu mengasah dan melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi di pentas global.
Usaha ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan Johor untuk menjadi hab pembangunan bakat serantau yang bukan sahaja mementingkan penguasaan ilmu tetapi aspek kemahiran dan jaringan antarabangsa turut menjadi teras kepada kemajuan ekonomi negeri yang mampan serta berdaya tahan.
Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JETCO hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU antara JETCO dan RBS yang berlangsung di Opero Hotel Southkey, Johor Bahru pada Selasa. MoU berkenaan ditandatangani oleh YBhg Encik Mohd Shahrin Dato’ Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif JETCO dan Prof Dr. Antonia Ragusa, Dekan dan Pengasas RBS.
Hadir sama ialah YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dan YBhg Encik Herman Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#JETCO
#JSSEZ
#RomeBusinessSchool
#JETCOxRBS
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


