JOHOR BAKAL TUAN RUMAH NIKKEI FORUM MEDINI 2025

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor mengumumkan Johor bakal menjadi tuan rumah kepada Nikkei Forum Medini 2025 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 19 Jun ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Johor terus agresif memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara apabila bakal menjadi tuan rumah Nikkei Forum Medini 2025 yang menghimpunkan tokoh korporat, pelabur berimpak tinggi dan pembuat dasar dari seluruh rantau Asia.

 

Bertemakan “Driving Asia’s Innovation Hub”, forum anjuran bersama Nikkei Inc. dan Iskandar Investment Berhad (IIB) yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Jun itu membuka ruang kepada Johor menonjolkan kekuatan ekonomi, daya saing Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia serta potensi Medini sebagai pusat pertumbuhan teknologi dan inovasi masa depan.

 

Nikkei Forum Medini 2025 menjadi peluang keemasan menarik pelaburan dijangka membawa impak terhadap pertumbuhan ekonomi negeri kerana disokong kehadiran lebih 150 pelabur dan penggerak industri dari pelbagai negara yang menterjemah keyakinan terhadap ekosistem Johor dalam sektor digital, teknologi hijau dan pembangunan mampan.

 

Medini dan Iskandar Puteri bukan sahaja sebagai lokasi strategik yang berkembang pesat dengan infrastruktur kelas dunia, tenaga kerja mahir dan dasar mesra pelabur malah memacu ekonomi bernilai tinggi melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) serta Ekonomi Digital.

 

Selain itu, penganjuran Nikkei Forum Medini 2025 turut memperkukuh dasar mesra pelabur negeri seterusnya mempercepatkan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan selain menyokong hasrat Johor membina jaringan bernilai tinggi serta menjadi rakan strategik kepada syarikat global yang ingin menerokai pasaran ASEAN dan serantau.

 

Forum antarabangsa itu bakal diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama tokoh ternama dari Jepun yang akan memperkukuh lagi hubungan strategik antara Malaysia serta Jepun dalam meneroka kerjasama dan peluang pelaburan.

 

#NikkeiForumMedini2025
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor