JOHOR BERPOTENSI RAIH RM26.18 BILION PELABURAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari kedua Nikkei Forum Medini, Johor 2025. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Dasar mesra pelabur yang diimplementasikan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan asing sekali gus membuktikan Johor bukan sahaja memiliki potensi besar malah berada di landasan tepat sebagai peneraju ekonomi masa hadapan.

 

Melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), sebanyak 439 pertanyaan berkaitan pelaburan telah diterima diikuti 57 projek dengan nilai pelaburan RM26.18 bilion berpotensi untuk dimuktamadkan selain enam pelaburan komited berjumlah RM16.71 bilion setakat Mei lalu.

 

Inisiatif Johor Super Lane (JSL) digerakkan Kerajaan Negeri yang mengurangkan tempoh kelulusan pelaburan kepada kurang 35 hari berbanding tiga bulan juga menjadi pencapaian membanggakan yang mencerminkan kecekapan pentadbiran dan kesungguhan Johor menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

 

Selain itu, Johor turut memperkukuh aspek pergerakan dan mobiliti sebagai elemen penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi langkah memperluas jaringan pengangkutan serta logistik seterusnya memperkukuh integrasi rentas sempadan bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa menyokong hala tuju pembangunan negeri serta komitmen terhadap kerjasama rentas sempadan bersama Singapura yang menjadi pemangkin penerokaan peluang baharu menyatukan kepentingan ekonomi dan kemanusiaan kedua-dua negara.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari kedua Nikkei Forum Medini, Johor 2025 yang turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, hari ini.

 

Hadir sama YBhg. Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri; TYT Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia; YB Tuan Lee Ting Han Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor.

 

#NikkeiForumMedini
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor