JOHOR BINA LALUAN LINTASAN HIDUPAN LIAR PERTAMA

Laluan lintasan hidupan liar pertama Johor bakal dibina di jalan utama FT50 yang menghubungkan Kahang, Kluang dan Mersing. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Projek laluan lintasan hidupan liar pertama di negeri ini, bakal dibina secara rasmi di jalan utama FT50 menghubungkan Kahang, Kluang dan Mersing, bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta hidupan liar.

 

Menerusi projek berkenaan, jalan dikelilingi kawasan hutan dan merupakan laluan sempadan antara Hutan Simpan Labis ke Mersing serta Hutan Simpan Panti dan Kota Tinggi atau dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS) akan dinaik taraf.

 

Laluan lintasan tersebut kelak mempunyai panjang keseluruhan 1.275 kilometer dengan 200 meter daripadanya merupakan jejambat setinggi 8 meter di mana tumbuhan khas akan ditanam di bawahnya bagi menarik dan ‘memandu’ hidupan liar menyeberangi jalan.

 

Keseluruhan kos projek yang dijangka siap pada Februari 2028 itu adalah sebanyak RM66 juta merangkumi kajian awal, tanah, geologi, reka bentuk, pemindahan infrastruktur, pembinaan jalan sementara dan jejambat.

 

Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan pelbagai projek pemuliharaan ekologi semula jadi bagi memastikan Johor mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi meskipun sedang pesat membangun dari sudut ekonomi.

 

Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor diiringi YBhg. Tuan Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing mengadakan lawatan ke tapak projek lintasan hidupan liar (Viaduct) di Hutan Simpan Lenggor Mersing, sempadan Daerah Kluang dan Mersing.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor