JOHOR CAKNA PENJAGAAN AWAL KANAK-KANAK


YDH Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, Isteri YAB Menteri Besar Johor diiringi YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mengadakan lawatan bagi meninjau pengoperasian JCC PPR Melana Indah Fasa 2. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Ikhtiar Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) memperluaskan inisiatif Jauhar Childcare Centre (JCC) ke kawasan komuniti berjaya direalisasikan menerusi pengoperasian pusat asuhan, didikan dan perkembangan awal kanak-kanak tersebut di PPR Melana Indah Fasa 2.

 

Penubuhan JCC merupakan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban golongan B40 dengan tawaran kadar yuran bulanan serendah RM250 untuk penjagaan bayi berusia tiga bulan hingga dua tahun manakala RM220 pula bagi kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun.

 

Sebanyak RM163,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri di dalam Belanjawan Johor 2024 bagi menjayakan pengoperasian JCC di PPR Melana Indah Fasa 2 sejak Mei lalu, pusat asuhan kanak-kanak pertama dibangunkan di dalam kawasan komuniti bagi manfaat ibu bapa dan penjaga yang bekerja.

 

Kemudahan serba kondusif menempatkan 11 kanak-kanak itu menterjemah kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu lebih ramai golongan sasar bagi memastikan anak masing-masing menerima akses pendidikan berkualiti seterusnya membesar sebagai Bangsa Johor yang progresif dan dinamik.

 

Sehingga kini, seramai 126 kanak-kanak menikmati inisiatif disediakan Kerajaan Negeri itu membabitkan enam JCC di Kota Iskandar, Batu Pahat, Pontian, Muar, Segamat dan PPR Melana Indah Fasa 2 selain satu lagi kemudahan sedang dibina di Kluang dengan peruntukan bernilai RM530,000 yang dijangka siap Disember tahun ini.

 

Terdahulu, YDH Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, Isteri YAB Menteri Besar Johor diiringi YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mengadakan lawatan bagi meninjau pengoperasian JCC PPR Melana Indah Fasa 2.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor