JOHOR CATAT NILAI JUALAN SEKTOR PERTANIAN RM27.2 BILION

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menghadiri Mesyuarat Exco-Exco Pertanian Negeri dipengerusikan YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya. | Foto Facebook Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama sektor pertanian Malaysia apabila berjaya mencatat nilai jualan mencecah RM27.2 bilion, sekali gus mengekalkan status sebagai penyumbang terbesar kepada industri pertanian negara.

 

Pencapaian membanggakan tersebut secara tidak langsung membuktikan kekuatan dan potensi sektor pertanian di negeri ini serta menjadi petunjuk jelas keberkesanan dasar dan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor menerusi pelbagai jabatan dan agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh sektor tersebut.

 

Berikutan kejayaan itu, Kerajaan Johor akan terus memberi keutamaan kepada usaha memajukan sektor pertanian bagi menjadikannya kekal berdaya saing, inklusif dan mampan dengan perancangan awal Belanjawan Johor 2026 akan memberi tumpuan terhadap pemerkasaan kumpulan petani, penternak, nelayan dan pengusaha berkaitan.

 

Seiring pembangunan pesat negeri termasuk pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), agenda keterjaminan makanan terus menjadi salah satu bidang keutamaan dengan usaha penggalakkan aktiviti pertanian moden dan berteknologi tinggi dipergiat bagi meningkatkan pengeluaran produk agromakanan berkualiti tinggi.

 

Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan khas bernilai RM23.4 juta bagi pelaksanaan 20 program dan projek pertanian di Johor tahun ini.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah proaktif mencadangkan kepada KPKM agar mempercepat penyaluran bantuan bencana kepada golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas, terutama akibat bencana banjir bagi memastikan kesinambungan sumber pendapatan mereka dan kelangsungan hasil pengeluaran agromakanan negeri ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menghadiri Mesyuarat Exco-Exco Pertanian Negeri dipengerusikan YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya.

 

#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor