JOHOR EKSPORT NANGKA MADU SEGAR KE CHINA


Produk nangka madu segar sebanyak lapan tan telah di eksport ke China.

 

Kerajaan Johor telah mula mengeksport produk nangka madu segar sebanyak lapan tan ke China sebagai salah satu inisiatif penting memperkenalkan hasil tanaman tersebut bagi memanfaatkan potensi besar dimiliki buah tropika itu sekali gus meningkatkan eksport produk pertanian negeri ini.

 

Susulan pelaksanaan protokol baharu berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin dimeterai kerajaan Malaysia dan China pada 1 April 2023, ia membuka peluang pasaran eksport baharu Negeri Johor bagi meneroka potensi jualan di negara berkenaan.

 

Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan pengusaha tempatan nangka madu segar untuk bersama-sama memenuhi pasaran eksport ke China selari dengan status Johor sebagai pengeluar utama produk makanan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran seterusnya membuka peluang ekonomi kepada mereka.

 

Nangka madu segar memiliki keistimewaan tersendiri yang secara tidak langsung menjadikannya sesuai untuk pasaran antarabangsa termasuk dapat diproses menjadi pelbagai produk seperti kerepek, jus dan makanan ringan selain memiliki amalan pertanian yang baik untuk mengekalkan kualiti buah berkenaan.

 

Malah, pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk petani, pengeksport, agensi kerajaan, dan rakan niaga antarabangsa amat penting bagi memastikan agenda Johor sebagai peneraju sekuriti makanan negara dapat dicapai.

 

Pada 2022, Johor merekodkan pengeluaran nangka sebanyak 7,680.38 tan bernilai kira-kira RM13.82 juta selain mencatatkan keluasan bertanam buah-buahan terbesar di kawasan seluas 50,217 hektar dengan pengeluaran terbesar iaitu 772,317.4 tan atau 34.5 peratus daripada pengeluaran buah-buahan negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor