“JOHOR HOME OF CHAMPIONS”

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Mr. Abdulla Ali Al-Kuwari Ketua Penasihat Qatar Investment Authority Advisory pada Mei lalu menterjemah komitmen Johor untuk terus menarik kemasukan pelaburan berimpak tinggi demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat. | Foto HRH Crown Prince of Johor

 

Oleh Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Kebelakangan ini, nama Johor sering disebut-sebut sebagai kuasa besar baharu ekonomi Malaysia – negeri yang bukan sekadar berpotensi, tetapi telah melakar kejayaan demi kejayaan. Terus mendahului dengan ‘Cara Johor’, mengejar seterusnya mencipta nama di pentas tanah air dan antarabangsa.

 

2. Penciptaan lakaran kejayaan yang sedang digarap secara berterusan mencerminkan bahawa negeri ini sedang giat melalui pelbagai usaha dan inisiatif untuk muncul selaku kuasa besar baharu ekonomi negara. Hal ini disokong dengan petikan kenyataan salah seorang pemimpin negeri ketika Nikkei Forum Medini Johor 2025 pada minggu lalu iaitu “Johor Is No Longer Catching Up, Johor Is Leading The Pack.”

 

3. Untuk rekod, suku pertama tahun ini telah membuktikan bahawa kenyataan tersebut adalah benar apabila Johor sudah mencatatkan pencapaian luar biasa sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia dengan jumlah RM30.1 bilion, mengatasi Kuala Lumpur, Sabah, Selangor dan Pulau Pinang.

 

4. Apa yang pasti, data memberangsangkan ini tidak hadir secara kebetulan atau datang bergolek, sebaliknya terlahir daripada hasil kepimpinan strategik dan dasar proaktif Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam mewujudkan sebuah ekosistem pelaburan yang kondusif, mesra dan berpaksikan masa depan.

 

5. Antara pemacu utama kepada pencapaian ini adalah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Johor (IMFC-J) di Forest City yang mendorong kepada penerimaan lebih daripada 439 pertanyaan melibatkan 57 pelaburan berpotensi bernilai kira-kira RM26.18 bilion selain enam pelaburan komited berjumlah lebih kurang RM16.71 bilion setakat Mei tahun ini.

 

6. Di samping itu, jauh lebih membanggakan adalah limpahan manfaat yang bakal diraih daripada potensi semua pelaburan ini yang dijangka menjana lebih 33,000 peluang pekerjaan, merangsang pemindahan teknologi serta menambah nilai kepada pembangunan modal insan.

 

7. Komitmen Kerajaan Negeri menerusi inisiatif signifikan Johor Super Lane (JSL) yang mempercepatkan kelulusan pelaburan dalam masa kurang 35 hari berbanding 90 hari yang turut menjadi simbol kecekapan pentadbiran Johor dalam merealisasikan pelaburan bernilai tinggi serta menterjemah dasar mesra pelabur.

 

8. Penulis percaya kesemua hasil yang dituai ini juga adalah bersandarkan mentaliti ungkapan “Te Syie Te Pan” yang membawa maksud “Hasil Luar Biasa Memerlukan Usaha Yang Luar Biasa” serta “Good Is Not Good Enough” yang sering diungkapkan oleh Menteri Besar Johor dalam ucapan beliau kepada umum.

 

9. Malah usaha luar biasa digerakkan inilah yang mendorong keyakinan Kerajaan Negeri untuk negeri ini meraih kira-kira RM60 hingga RM100 bilion nilai pelaburan menjelang akhir tahun 2025 – sekali gus jauh mengatasi nilai terdahulu yang direkodkan iaitu RM48.5 bilion pada tahun lalu.

 

10. Keunggulan Johor bagaimanapun tidak terhenti bagi sektor industri dan teknologi semata-mata. Ini kerana Data Banci Pertanian 2024 turut melaporkan Johor mencatat nilai jualan tertinggi dalam sektor pertanian negara yang memperkukuh naratif kekuatan negeri terletak kepada keseimbangan antara inovasi moden dan kekayaan sumber pertanian.

 

11. Bukan sahaja megah dengan pewujudan kilang cip pintar, pusat data dan sektor pembuatan, namun menuai hasil dari tanah yang subur di bumi yang bertuah ini sebagai aset yang menjana nilai serta pulangan. Inilah kekuatan sebenar Johor iaitu ekonomi yang seimbang, strategi pembangunan inklusif dan semangat untuk terus menjadi yang terbaik.

 

12. Justeru, “Home of Champions” menjadi sebuah slogan yang bukan hanya terikat kepada sektor sukan sahaja, tetapi cerminan untuk iltizam yang tidak pernah mengalah dan puas dengan sekadar ‘cukup’. Tidak hanya dalam sukan malah juga pelaburan diikuti sektor lain yang menginterpretasi bahawa Johor sedang mengorak langkah agresif bersiap sedia mendominasi segalanya di peringkat global.

 

13. Apabila kita menyebut masa depan ekonomi Malaysia, nama Johor kini bukan sekadar hanya disebut-sebut, sebaliknya dimartabat dan diangkat sebagai model – yang dicontohi serta digeruni. Negeri ini bukan sahaja menulis tetapi sedang melakar sejarah baharu yang tersendiri dan membentuk masa depan yang cerah untuk Bangsa Johor serta pembangunan negara.

 

#JohorLeadingTheWay
#HomeOfChampions
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor