JOHOR KEKAL DESTINASI PELABURAN NOMBOR SATU NEGARA

Johor kekal destinasi pelaburan nombor satu negara dengan rekod nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion bagi separuh pertama. | Kredit pemilik foto.

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan nombor satu negara dengan merekodkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion bagi separuh pertama 2025 berbanding RM13 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu.

 

Menurut laporan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan pelaburan tertinggi diikuti Selangor dengan RM34.7 bilion, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM30.1 bilion), Pulau Pinang (RM18.9 bilion) dan Sabah (RM11.4 bilion).

 

Prestasi yang direkodkan mengekalkan momentum cemerlang Johor selepas turut menduduki tempat pertama pada suku pertama 2025 dengan nilai pelaburan RM30.1 bilion dan kini kekal nombor satu di peringkat nasional sehingga suku kedua 2025, hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara iaitu RM190.3 bilion.

 

Pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap kekuatan asas ekonomi Johor selain membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif strategik serta projek antaranya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ekosistem industri yang kukuh dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

 

Pelaburan diraih bukan sahaja menambah kapasiti ekonomi malah mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan rantaian nilai tempatan, memberi peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem industri global serta memacu transformasi teknologi seiring dengan aspirasi Johor menjadi hab digital dan industri maju di rantau ini.

 

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, agensi pelaburan dan rakan industri untuk memastikan setiap pelaburan direalisasikan serta memberi impak nyata kepada rakyat dan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian, selaras dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri melihat prestasi direkodkan membuktikan Johor menjadi pilihan utama pelabur malah sedang membina masa depan sebagai kuasa ekonomi baharu rantau ini, dengan harapan rakyat menikmati manfaat daripada setiap peluang pekerjaan, teknologi baharu, dan pembangunan dibawa masuk.

 

#WTN

#PelaburanJohor

#EkonomiJohor

#JohorHomeOfChampions

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor