JOHOR KEKAL PROAKTIF HADAPI KETIDAKTENTUAN PERDAGANGAN GLOBAL

Pembangunan pesat infrastruktur termasuk sistem logistik pintar, pelebaran lebuh raya dan pembinaan kereta api elektrik berkembar serta projek RTS antara Johor dan Singapura akan mempercepatkan integrasi dua hala, mewujudkan jaringan ekonomi dalam radius satu jam perjalanan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

 

 

 

Oleh – YB Tuan Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor

 

 

1. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini mengumumkan tentang tarif ke atas barangan yang dikenakan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia. Walaupun pelaksanaan tarif sebanyak 24 peratus terhadap barangan dari Malaysia ini telah ditangguhkan selama 90 hari, namun perang perdagangan yang berlarutan tetap memberi tekanan terhadap eksport negara serta struktur rantaian bekalan global.

 

2. Sebagai sebuah negeri perdagangan utama, Johor turut merasai impaknya. Sektor eksport seperti perabot berasaskan kayu dari Muar dan produk elektrik dan elektronik (E&E) di kawasan utara dan selatan negeri adalah antara yang paling terkesan. Sekiranya situasi ini berterusan, ia bakal menjejaskan keyakinan pelabur serta pengusaha industri tempatan.

 

3. Malaysia, sebagai sebuah negara ekonomi terbuka yang mengamalkan dasar berkecuali, tidak akan tunduk kepada tekanan kuasa besar dan pada masa sama, tidak memilih untuk berkonfrontasi secara terbuka. Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, kerajaan mengekalkan pendirian yang rasional dan tenang dengan terus menegaskan komitmen terhadap prinsip perdagangan bebas dan adil.

 

4. Kerajaan Johor telah menjalinkan komunikasi erat bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan bagi memahami situasi semasa. Hanya dengan pendekatan proaktif, kita mampu menetapkan hala tuju yang jelas dalam menghadapi cabaran ini.

 

5. Ketegangan perdagangan antarabangsa akan terus menjadi faktor risiko kepada pertumbuhan ekonomi global. Namun, dalam setiap risiko, terselit peluang. Jika kita terlalu bergantung kepada pasaran luar, kita akan terdedah kepada turun naik ekonomi global. Sebaliknya, dengan memperkukuh daya saing serantau dan menggalakkan integrasi rantaian bekalan, kita akan berupaya bukan sahaja keluar daripada kemelut perang tarif, malah menjadi peneraju dalam arus perdagangan baharu.

 

6. Dalam konteks ini, inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan zon perintis yang amat penting. Ia menjadi pemacu pemantapan hubungan rantaian bekalan serantau dan global serta pembangunan industri bernilai tinggi.

 

7. Walaupun ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu, prestasi ekonomi Malaysia dilihat kekal stabil dan ini dibuktikan dengan pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan. Pada suku pertama 2025, Johor telah mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam negara sebanyak RM27.4 bilion. Ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap dasar pembangunan serta persekitaran pelaburan mesra pelabur di negeri ini.

 

8. Tumpuan pelabur kini merangkumi bidang-bidang seperti pembuatan digital, tenaga hijau, kesihatan pintar, bahan termaju, semikonduktor, pusat data dan logistik. Johor kini sedang dipacu sebagai hab utama rantau ini dalam pelbagai sektor berteknologi tinggi.

 

9. Pembangunan pesat infrastruktur termasuk sistem logistik pintar, pelebaran lebuh raya dan pembinaan kereta api elektrik berkembar serta projek RTS antara Johor dan Singapura akan mempercepatkan integrasi dua hala, mewujudkan jaringan ekonomi dalam radius satu jam perjalanan.

 

10. Bakat, modal dan aliran barangan akan menjadi lebih lancar, menjadikan Johor lebih kompetitif dalam persaingan serantau yang semakin sengit dan mencabar.

 

11. Justeru, bagi mengukuhkan kerjasama strategik serantau, Forum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dianjurkan bersama Kementerian Pelaburan Singapura, MITI dan agensi berkaitan telah menjadi platform dalam mempromosikan potensi pelaburan, memperkenalkan peluang strategik dan mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak dalam ekosistem perdagangan baharu.

 

12. Dalam saat-saat mencabar ini, selagi kerajaan dan pihak industri berganding bahu, kita mampu menukar krisis menjadi peluang. Johor akan terus melangkaui sempadan, membuka pasaran baharu dan mencipta kejayaan baharu. Kita yakin, ketidaktentuan hari ini akan mampu diubah menjadi harapan dan peluang masa depan.

 

#WTN
#JSSEZ
#FCSFZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor