JOHOR MAHU JADI JUARA BANDAR PINTAR


TPr Saidin Lateh, Pengarah PLANMalaysia@Johor | Foto MDJ Bayu Wira

 

Susulan kejayaan penganjuran Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023, PLANMalaysia@Johor bakal mengadakan program Hari Bandar Pintar Johor (JSCD) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Selasa depan, dalam usaha menjadikan Johor peneraju transformasi bandar pintar negara.

 

Penganjuran berkenaan bagi TPr Saidin Lateh, Pengarah PLANMalaysia@Johor merupakan kesinambungan kepada program yang berjaya menarik 10,000 pengunjung tahun lalu serta mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri dalam merangka hala tuju lebih jelas untuk mewujudkan bandar pintar menjelang 2030.

 

JSCD 2024 dijangka menyaksikan enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) melancarkan pelan induk bandar pintar di kawasan pentadbiran mereka.

 

Pada masa yang sama, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) turut akan melancarkan pelan induk bandar pintar masing-masing sekali gus membuktikan komitmen dua PBT itu untuk bergerak ke hadapan membawa pembaharuan demi manfaat masyarakat setempat.

 

Lebih istimewa, JSCD 2024 turut memperkenalkan dua anugerah bagi sektor kerajaan dan swasta yang telah menggerakkan inisiatif menyuburkan elemen bandar pintar sebagai dorongan kepada semua pihak supaya mengutamakan aspek perancangan bandar masa hadapan.

 

Di samping itu, sebanyak sembilan sesi perkongsian pakar atau ‘Tech Talk’ termasuk slot bersama Dr. Mochamad Ridwan Kamil, Kurator Ibu Kota Nusantara yang juga bekas Gabenor Jawa Barat berkongsi input dan pengalaman membangunkan bandar Bandung sebagai kota pintar di Indonesia.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor