JOHOR MOTORSPORTS RACING BERJAYA HARUNGI PERLUMBAAN CABARAN 24 JAM SPA-FRANCORCHAMPS

Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) berjaya menamatkan perlumbaan lasak 24 Jam Spa-Francorchamps di Belgium. | Foto JOHOR Racing

 

#IskandarPuteri – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menamatkan perlumbaan lasak 24 Jam Spa-Francorchamps di Belgium antara perlumbaan paling mencabar dalam dunia sukan permotoran.

 

Jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R dipandu YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor bersama pelumba dari England dan Australia berjaya menamatkan cabaran di tempat ke-12 Kategori Bronze Cup dan ke-43 keseluruhan.

 

Meskipun lebih satu pertiga daripada 74 pasukan gagal menamatkan perlumbaan dalam keadaan cuaca panas yang menguji ketahanan fizikal dan jentera, JMR yang turut diperkuatkan oleh pelumba pelumba profesional, Alexander Sims dan Jordan Love kekal konsisten sekali gus berjaya menamatkan saingan.

 

YAM Tunku Abdul Rahman menzahirkan rasa bangga terhadap semangat dan kerjasama pasukan yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perlumbaan mereka di Spa-Francorchamps, selain menyifatkan kejayaan menamatkan perlumbaan mencabar ini menjadi detik bermakna buat pasukan JMR.

 

Sementara itu, YAM Tunku Abu Bakar menyifatkan bahawa perlumbaan 24 jam ini memberi peluang besar kepada pasukan untuk memahami karakteristik jentera baharu sepanjang perlawanan berlangsung sambil menzahirkan rasa gembira terhadap prestasi jentera dipandunya serta menghargai sokongan luar biasa diberikan Corvette sepanjang perlumbaan.

 

Selepas ini, Johor Motorsports Racing yang sedang mendahului carta kejuaraan dalam saingan GT World Challenge Asia akan kembali beraksi di Fuji, Jepun, pada 11-13 Julai 2025 untuk pusingan ketujuh dan kelapan kalendar perlumbaan tersebut.

 

#JohorMotorsportsRacing
#24HoursOfSpa
#Endurance
#GT3
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor