JOHOR NEGERI PERTAMA GUNA JENTERA CANGGIH BAIKI ‘POTHOLE’

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Terkini Jalan Negeri Johor di Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Usaha Johor untuk terus menyediakan sistem jaringan jalan raya yang berkualiti tinggi dan mampan terus diperkasakan apabila menjadi negeri pertama di rantau Asia Pasifik yang bakal menggunakan dua unit jentera berteknologi tinggi JCB Pothole Pro dari Staffordshire, United Kingdom bagi mempercepat kerja dan memperkemas proses tampalan jalan berlubang atau ‘pothole’.
Dengan kos pelaburan sebanyak RM1.6 juta seunit, jentera canggih berkenaan yang akan digunakan syarikat konsesi Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd. mampu menyiapkan kerja tampalan bagi ‘pothole’ bersaiz satu meter persegi dalam tempoh hanya lapan minit, berbanding kaedah konvensional yang digunakan sebelum ini yang terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk menangani masalah yang sama.
Malah, hasil kerja teknologi JCB Pothole Pro ini juga dijangka memberi hasil tampalan jalan raya yang lebih kemas, bersih dan tahan lama sehingga 90 peratus dengan kedalaman tampalan mencecah sehingga 120 milimeter (mm) iaitu tiga kali lebih baik berbanding kaedah standard biasa yang hanya mencapai 40 mm sahaja.
Sebelum ini, kaedah konvensional yang digunakan juga memerlukan tempoh selama 25 minit hanya untuk proses pemotongan dengan tenaga kerja seramai enam orang. Namun, menerusi penggunaan teknologi berkenaan, tempoh masa untuk keseluruhan kerja baik pulih jalan raya berkenaan dapat dikurangkan kepada lapan minit dan memerlukan hanya tiga pekerja sahaja, sekali gus bukan hanya dapat menjimatkan kos tetapi juga boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Kerajaan Negeri juga optimis penggunaan jentera berteknologi tinggi ini akan dapat mempercepatkan usaha mencapai sasaran sifar ‘pothole’ yang telah dirancang sejak tahun lalu dengan fokus awal kini diberikan di beberapa jalan raya di sekitar kawasan bandar raya Johor Bahru yang meliputi jalan yang diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), sebelum ia akan diperluas ke jalan desa khususnya yang sering terkesan akibat banjir.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menegaskan usaha mengekalkan jalan bebas ‘pothole’ ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak kerana faktor berulang seperti kejadian paip air pecah serta keadaan cuaca semasa seperti hujan lebat turut boleh menjadi antara punca yang menyumbang kepada kerosakan jalan.
Inisiatif ini juga diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat, lancar dan moden, sekali gus berupaya menjadi antara faktor yang boleh menarik lebih banyak kemasukan pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini kelak.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Terkini Jalan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#SifarPothole
#JalanRaya
#Infrastruktur
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor