JOHOR PENERAJU SEKURITI MAKANAN NEGARA


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar hadir merasmikan Karnival Agro Johor 2024 di Dataran Gemilang Yong Peng, Batu Pahat.

 

Industri agromakanan di negeri ini terus diberi tumpuan sewajarnya oleh Kerajaan Johor menerusi peruntukan signifikan disediakan dalam usaha menjayakan aspirasi menjadi bakul makanan negara dan serantau.

 

Usaha tersebut diterjemah menerusi peruntukan kira-kira RM60 juta oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memacu pembangunan sektor pertanian di Johor merangkumi iltizam memajukan tanah-tanah terbiar yang sesuai untuk aktiviti tanaman agromakanan.

 

Kerajaan Johor juga komited menyediakan pelbagai inisiatif dalam bentuk bimbingan dan insentif kepada golongan sasar bagi pemerkasaan pemasaran dan aktiviti eksport hasil pertanian serta pembangunan usahawan agro di seluruh Johor pada tahun ini.

 

Malah, penganjuran Karnival Agro Johor 2024 bertemakan ‘Peneraju Sekuriti Makanan Negara’ menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor pertanian seterusnya melahirkan lebih ramai ‘agropreneur’ menerokai dunia asas tani dan bergerak ke arah industri pertanian moden.

 

Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM2.68 juta kepada usahawan tani meliputi bantuan mekanisasi pertanian, program pembangunan estet kerang-kerangan, bantuan lembu pedaging, menaik taraf pusat pengumpulan hasil pertanian serta pembinaan pusat penyembelihan ruminan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar hadir merasmikan Karnival Agro Johor 2024 di Dataran Gemilang Yong Peng, Batu Pahat.

 

Hadir sama, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri kawasan Yong Peng dan YBhg Yosri Mohd, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor