JOHOR PERHEBAT USAHA BASMI MISKIN TEGAR

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor (kanan) bersama YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor (kiri) mempengerusikan Taklimat Pembasmian Miskin Tegar dan Program Dapur Kasih Johor di Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Usaha dan komitmen berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor untuk merealisasikan sifar miskin tegar menjelang 2027 semakin membuahkan hasil apabila seramai 4,378 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar bagi tahun 2023 berjaya diputihkan setakat 31 Julai tahun lalu.
Susulan daripada kejayaan memberangsangkan itu, Kerajaan Johor akan terus memperhebatkan lagi usaha membasmi miskin tegar fasa kedua menerusi penambahan jumlah peruntukan bagi inisiatif Dapur Kasih Johor, dari RM3.2 juta seperti mana yang diumumkan pada Belanjawan Johor 2025 kepada RM3.9 juta bagi manfaat 3,261 KIR miskin dan miskin tegar.
Gerak kerja pemutihan miskin tegar fasa kedua ini akan dilaksanakan secara besar-besaran dalam tempoh 10 hari membabitkan seramai 235 KIR yang telah dikenal pasti di lapan daerah sebelum pembentangan status terkini kepada YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 25 Mac ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga telah memperuntukkan RM218.4 juta bagi melaksanakan pelbagai jenis inisiatif seperti bantuan sara hidup, sumbangan hari raya, skim takaful, rawatan perubatan serta bantuan baik pulih dan bina baharu rumah.
Komitmen ini diserlahkan lagi apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor turut menerima peruntukan signifikan berjumlah RM27.6 juta dari Kerajaan Negeri dan RM216 juta dari Kerajaan Persekutuan menjadikan keseluruhan peruntukan bernilai RM243.6 juta bagi membantu golongan memerlukan di Negeri Johor.
Pada 9 Mei 2024, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 bertitah agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor bersama YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mempengerusikan Taklimat Pembasmian Miskin Tegar dan Program Dapur Kasih Johor di Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSifarMiskinTegar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor