JOHOR PERKUKUH INDUSTRI AGRO MELALUI PENJENAMAAN DURIAN DAN NANAS JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor terus memperkasa sektor pertanian berimpak tinggi melalui penjenamaan dua produk kebanggaan negeri iaitu Durian Johor dan Nanas Johor sebagai jenama agro premium yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Penjenamaan itu akan menumpukan kepada penghasilan beberapa varieti baharu berkualiti eksport, pembangunan produk hiliran seperti pes, makanan dan minuman berasaskan durian serta nanas, di samping penerapan teknologi moden, latihan usahawan tani dan strategi pemasaran jenama secara bersepadu.
Inisiatif ini dijangka akan mengangkat imej Durian dan Nanas Johor sebagai simbol agro ikonik negeri, seiring dengan usaha untuk menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran serta inovasi produk agro premium negara.
Untuk rekod, Johor kini menyumbang hampir 67 peratus daripada pengeluaran nanas negara, sekali gus memperkukuh peranan negeri ini sebagai peneraju utama dalam industri berasaskan pertanian bernilai tinggi di negara ini.
Menerusi Teras 2 Kesejahteraan Sosial, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa kedudukan Johor sebagai peneraju industri buah-buahan tropika negara, selain memperluas potensi ekonomi kepada rakyat setempat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



