JOHOR PERKUKUH PEMELIHARAAN, PEMULIHARAAN TANAH LEMBAP NEGERI

YB Dato’ Haji Jeffridin Atan, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kukup selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026 di Taman Negara Johor Tanjung Piai.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pengurusan lestari ekosistem tanah lembap, termasuk kawasan Tapak Ramsar, Taman Negara Johor Tanjung Piai yang mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan global.
Komitmen Kerajaan Negeri ini diterjemah melalui penyaluran peruntukan berjumlah RM4.05 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025 kepada Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan, program pendidikan alam sekitar serta usaha meningkatkan kesedaran masyarakat secara berterusan dan berimpak tinggi terhadap ekosistem alam sekitar berkenaan.
Usaha itu termasuk memperkukuh tadbir urus dan pembangunan ilmu apabila PTNJ turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat yang akan memberi penekanan kepada penyelidikan berfokus, pemuliharaan ekosistem, pendidikan alam sekitar serta pembangunan modal insan.
Komitmen tersebut selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi hijau negeri serta inisiatif Tahun Melawat Johor 2026 apabila beberapa kawasan tanah lembap telah dikenal pasti sebagai produk eko-pelancongan yang berpotensi untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke negeri ini.
Selain itu, penglibatan sektor swasta turut ditagih dalam agenda pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan kerjasama strategik dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pelaksanaan program pendidikan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari di kawasan Taman Negara Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Jeffridin Atan, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kukup selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026 di Taman Negara Johor Tanjung Piai, semalam. Turut hadir ialah YBhg. Encik Taufik Bahar, Pengarah PTNJ.
#JohorSafeZone
#HariTanahLembapSedunia
#PTNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


