JOHOR PERLUAS JARINGAN PEMBANGUNAN BAKAT DI PERINGKAT GLOBAL

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi JTDC pada lawatan kerja ke Universiti Nanjing, China, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kerjasama pendidikan tinggi Johor di peringkat antarabangsa. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Johor memperkukuh agenda pembangunan bakat dan pendidikan bertaraf antarabangsa apabila Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) menjalin kolaborasi strategik bersama Universiti Nanjing (NJU) iaitu sebuah institusi pendidikan terkemuka yang kini berada di kedudukan keenam terbaik di China dan ke-103 dunia.

 

Jalinan kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan ekosistem pendidikan negeri terus kekal relevan, berdaya saing dan selari dengan keperluan global, khususnya membabitkan bidang teknologi dan penyelidikan berimpak tinggi.

 

Kerjasama berkenaan dimuktamadkan menerusi Pertukaran Surat Kolaborasi (LoC) melibatkan JTDC, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan NJU, sebagai asas kukuh kepada jalinan kerjasama pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

 

Antara tumpuan utama LoC tersebut termasuk pelaksanaan program pertukaran pelajar serta pemindahan pengetahuan melalui penyelidikan bersama yang dijangka dapat memperkukuh inovasi, mobiliti akademik dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

 

Inisiatif ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Johor dalam membina rangkaian global pendidikan tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, serta memastikan anak muda Johor berupaya mendapat akses kepada peluang akademik dan teknologi terbaik dunia.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi JTDC pada lawatan kerja ke NJU, China, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kerjasama pendidikan tinggi Johor di peringkat antarabangsa.

 

Delegasi JTDC telah disambut secara rasmi oleh Profesor Zhou Zhihua, Naib Presiden NJU dalam satu pertemuan strategik yang memfokuskan hala tuju kerjasama akademik jangka panjang antara Johor dan China.

 

#JohorSafeZone
#JTDC
#NanjingUniversity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor