JOHOR PERUNTUK DANA TERTINGGI UNTUK SEKTOR PENDIDIKAN

Melalui 35 inisiatif utama berjumlah RM174.8 juta, manfaat ini bukan sahaja dinikmati oleh murid dan mahasiswa, tetapi juga guru, belia, pengamal media serta petugas barisan hadapan sekolah, sekali gus mewujudkan pendekatan holistik yang menyeluruh. | Foto Arkib MDJ
Oleh YB Tuan Aznan Tamin
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor
1. Belanjawan Johor 2026 kali ini memperlihatkan komitmen besar Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan apabila RM163 juta diperuntukkan khusus untuk murid, guru dan mahasiswa anak Johor, suatu jumlah tertinggi dalam sejarah negeri ini.
2. Daripada keseluruhan RM2.536 bilion, peruntukan ini menegaskan agenda pendidikan kekal menjadi asas utama kepada kesejahteraan keluarga serta kemajuan negeri, merangkumi akses dan sokongan pendidikan dari bandar hingga ke pulau.
3. Keprihatinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor turut menjadi dorongan penting dalam pembentukan dasar pendidikan negeri.
4. Titah Baginda Pemangku Sultan yang sangat menekankan keselamatan, disiplin dan suasana pembelajaran yang positif menjadi pedoman kepada Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh ekosistem sekolah serta memastikan manfaat pendidikan sampai kepada seluruh rakyat di negeri ini tanpa ada yang terkecuali.
5. Selari dengan itu, Kerajaan Negeri turut menguatkan portfolio Penerangan bagi memastikan setiap maklumat penting sampai kepada rakyat dengan cepat, tepat dan telus.
6. Melalui 35 inisiatif utama berjumlah RM174.8 juta, manfaat ini bukan sahaja dinikmati oleh murid dan mahasiswa, tetapi juga guru, belia, pengamal media serta petugas barisan hadapan sekolah, sekali gus mewujudkan pendekatan holistik yang menyeluruh.
7. Antara inisiatif yang paling dekat dengan rakyat ialah Program ‘Back To School’ dengan peruntukan sebanyak RM28.8 juta bagi membantu 189,000 murid B40 dan asnaf di seluruh Johor.
8. Bantuan pakaian seragam sekolah ini bukan sekadar meringankan beban ibu bapa, tetapi memberi keyakinan dan semangat baharu kepada anak-anak yang bakal memulakan sesi baharu persekolahan akan datang.
9. Mahasiswa turut diberi perhatian melalui Bantuan Tiket Penerbangan untuk pelajar Johor di Sabah dan Sarawak serta inisiatif Bas Percuma bagi mahasiswa IPTA di Semenanjung ketika musim perayaan. Peruntukan sebanyak RM1.4 juta ini membolehkan mereka pulang berhari raya tanpa terbeban dengan sebarang kenaikan kos perjalanan.
10. Secara keseluruhan, peruntukan besar untuk pendidikan dalam Belanjawan Johor 2026 ini menggambarkan iltizam Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela daripada peringkat sekolah hingga ke universiti. Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang lebih sejahtera, berdaya saing dan bersedia memimpin negeri ke pentas global.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



