JOHOR PERUNTUK RM76.9 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT

YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara terus dizahirkan melalui peruntukan RM76.9 juta di bawah Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor bagi tahun hadapan, sekali gus memperlihatkan kesungguhan berterusan untuk membina ekosistem sosial yang lebih inklusif dan utuh.
Antara inisiatif signifikan yang terus memberi kesan langsung kepada rakyat ialah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang semakin dirasai oleh pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim, kanak-kanak di pusat jagaan serta komuniti petani dan nelayan.
Menerusi Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri menegaskan setiap bantuan yang dirangka adalah bertujuan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial supaya tiada satu pun kumpulan masyarakat yang akan terpinggir. Ia termasuk pengumuman pelaksanaan inisiatif tambahan menerusi BKJ Fasa 2 dengan peruntukan RM10.53 juta yang telah memberi manfaat kepada 17,702 penerima Bantuan Bulanan Warga Emas.
Kerajaan Negeri juga turut meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan sejumlah RM4.7 juta dibelanjakan dari tahun 2021 hingga 2025 yang memberi manfaat kepada 116 Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) yang secara tidak langsung telah menjadi simbol perhatian dan kepedulian kerajaan terhadap rakyat Johor bagi memastikan kesejahteraan mereka terus menjadi keutamaan.
Justeru, inisiatif dan penambahbaikan yang sentiasa dilaksanakan ini turut menggambarkan keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selaras dengan aspirasi Bangsa Johor Sejahtera agar tiada golongan rentan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.
Perkara itu dimaklumkan YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor di dalam ucapan penggulungannya ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



