JOHOR RANCANG PERKHIDMATAN KOMUTER KEMPAS BARU – PASIR GUDANG

Kerajaan Negeri bersama KTMB sedang meneliti cadangan perkhidmatan komuter ulang-alik laluan Kempas Baru–Pasir Gudang. | Foto FB Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang mengkaji pelaksanaan perkhidmatan komuter melibatkan laluan ulang-alik dari Kempas Baru ke Pasir Gudang.

 

Kajian perkhidmatan komuter di landasan kereta api berjarak kira-kira 40 kilometer (KM) itu dijangka mampu memendekkan tempoh perjalanan sama ada ke Kempas atau JB Sentral kepada 30 minit berbanding satu jam, sebelum ini.

 

Kajian tersebut turut merangkumi perancangan membangunkan beberapa stesen sederhana bagi kemudahan naik dan turun penumpang di sepanjang laluan yang sebelum ini hanya digunakan untuk perkhidmatan tren kargo bagi pergerakan kontena dari pelabuhan. Ia secara tidak langsung menjadi antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan perkhidmatan pengangkutan awam di Johor.

 

Perkhidmatan komuter Kempas Baru – Pasir Gudang ini bukan sahaja mampu memendekkan tempoh perjalanan, tetapi turut membantu mengurangkan kesesakan jalan raya terutama di kawasan Masai, Tampoi dan sekitar bandar raya Johor Bahru, di samping memperluaskan rangkaian kereta api penumpang di selatan Johor.

 

Selain itu, laluan berkenaan juga bakal digabungkan dengan projek Komuter Selatan, sekali gus melengkapkan jaringan tren yang lebih luas di Johor Bahru serta berpotensi untuk dihubungkan dengan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada masa hadapan.

 

Laluan rel kargo Pasir Gudang yang kini telah dinaik taraf melibatkan trek, sistem isyarat dan struktur keselamatan bagi menyokong perkhidmatan penumpang, selain ia juga bertujuan meningkatkan mobiliti harian golongan pekerja, pelajar dan penduduk setempat serta memberi manfaat sosial kepada ekonomi negeri kelak.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohammad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan tapak bagi meneliti cadangan stesen serta jajaran Komuter Selatan Kempas Baru – Pasir Gudang, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#InfrastrukturRel
#KTMBerhad
#KomuterSelatan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor