JOHOR REKOD PELANCARAN PROJEK PERUMAHAN BAHARU TERTINGGI SUKU PERTAMA 2025

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad, di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan perumahan negara apabila mencatatkan pelancaran projek baharu tertinggi bagi suku pertama tahun 2025 seperti dilaporkan oleh Laporan Pasaran Harta daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.

 

Sebanyak 5,300 unit kediaman baharu telah dilancarkan di Johor bagi tempoh tersebut, bersamaan 42.4 peratus daripada keseluruhan pelancaran di seluruh negara sekali gus jauh mengatasi negeri-negeri lain seperti Selangor dengan 2,129 unit dan Negeri Sembilan 1,838 unit.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,819 unit atau 34.3 peratus merupakan projek perumahan ditawarkan berharga di bawah RM300,000 yang membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik untuk golongan B40, M40 dan pembeli rumah pertama.

 

Pencapaian itu turut memperkukuh iltizam Kerajaan Negeri dalam merealisasi agenda pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2030 yang kini sedang giat dilaksanakan menerusi pelbagai projek strategik di seluruh negeri termasuk di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad, di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.

 

Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor; YB Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) serta YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

#JPEX2025
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor