JOHOR REKOD RM30.1 BILION PELABURAN SUKU PERTAMA 2025, TERTINGGI DI MALAYSIA

Bandar raya Johor Bahru.
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju pelaburan negara apabila mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM30.1 bilion bagi suku pertama tahun 2025.
Ia sekali gus menterjemahkan hasil daripada keberkesanan rancangan strategi pelaburan inklusif dan berpandangan jauh yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.
Sebahagian besar daripada jumlah pelaburan tersebut tertumpu kepada sektor-sektor perkhidmatan berimpak tinggi seperti logistik, pusat data, kemudahan perniagaan moden dan sektor-sektor lain yang turut menyokong aspirasi Johor untuk muncul sebagai pusat ekonomi digital serta hab industri bernilai tinggi di rantau ini.
Pencapaian berkenaan juga disumbang menerusi beberapa inisiatif dan faktor utama termasuk peranan signifikan yang telah dilaksanakan oleh Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC), kerjasama erat agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta agensi-agensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Selain itu, pertumbuhan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga terus berjaya menarik minat kemasukan pelabur antarabangsa, sekali gus memperkukuh daya saing Johor di peringkat global, di samping ia turut disokong dengan usaha menyediakan pelbagai infrastruktur mantap seperti jaringan jalan raya, pelabuhan bertaraf dunia serta sistem tenaga yang stabil.
Dasar pelaburan yang stabil dan mesra industri yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Johor Fast Lane serta komitmen menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) turut menjadi antara daya tarikan dalam usaha meletakkan Johor sebagai destinasi pelaburan utama.
Kerajaan Negeri juga mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak seperti penjawat awam, pemain industri, agensi seperti IRDA, MIDA, Invest Johor serta pembekal utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (RSAJ) yang bekerjasama menjadikan ekosistem pelaburan Johor kekal kondusif dan dinamik.
Melihat kepada perkembangan positif ini, Kerajaan Johor kekal komited untuk terus memperkasa ekosistem pelaburan negeri dengan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan serta memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
#WTN
#PelaburanJohor
#EkonomiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor