JOHOR SALUR BANTUAN KEPADA KELUARGA PALESTIN DI KEM MARKA

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor diiringi Puan Heba Almaani, Ketua Seksyen Bahagian Hal Ehwal Palestin (DPA), Kementerian Luar Negeri, Jordan hadir merasmikan Majlis Perasmian Misi Bantuan Tabung Kasih Johor–Palestin 3.0 di Kem Marka, Amman. | Foto MDJ Ariff Nasseem
#Amman, Jordan – Seramai 200 keluarga pelarian Palestin yang ditempatkan di Kem Marka, Jordan menerima bantuan kemanusiaan menerusi inisiatif Misi Bantuan Tabung Kasih Johor–Palestin 3.0 sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam membantu nasib rakyat Palestin yang terjejas konflik berpanjangan.
Misi itu selari dengan aspirasi dan panduan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menekankan kepentingan kebajikan, wakaf dan pembangunan ummah secara global.
Mereka yang majoritinya merupakan penduduk asal Gaza di Palestin menerima sumbangan berbentuk kotak makanan keluarga dan selimut bagi meringankan beban penderitaan kehidupan harian yang dihadapi, khususnya ketika menghadapi musim sejuk yang mencabar.
Melalui sumbangan berkenaan, sebanyak 100 kotak Makanan Keluarga bernilai RM180 setiap satu dan 100 kotak Selimut Musim Sejuk bernilai RM150 setiap satu diagihkan secara terus kepada penerima di kem berkenaan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1968 dan ia kini menempatkan hampir 61,869 pelarian dari Palestin.
Usaha itu turut mencerminkan keprihatinan dan semangat kemanusiaan Bangsa Johor, selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jordan, serta memperkukuhkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor terhadap isu Palestin di peringkat antarabangsa.
Misi Bantuan Kasih Johor–Palestin 3.0 merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan misi terdahulu, yang menyaksikan sumbangan berjumlah RM2 juta disalurkan kepada hampir 115,000 penerima di Gaza, termasuk penghantaran 8,000 kotak bantuan kemanusiaan ke beberapa lokasi strategik.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor diiringi Puan Heba Almaani, Ketua Seksyen Bahagian Hal Ehwal Palestin (DPA), Kementerian Luar Negeri, Jordan hadir merasmikan Majlis Perasmian Misi Bantuan Tabung Kasih Johor–Palestin 3.0 di Kem Marka, Amman, semalam.
Turut hadir YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); YBhg. Encik Jismi Johari, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR); YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); Tuan Haji Mohd. Radzi Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Shamsudin, Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohorPalestin
#TabungJohorPalestin
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



