JOHOR SAMBUT BAIK BELANJAWAN MADANI 2026

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menzahirkan rasa syukur atas pelbagai inisiatif khas yang diumumkan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat Johor. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#KotaTinggi – Kerajaan Negeri menyambut baik Belanjawan MADANI Keempat Tahun 2026 dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan semalam, yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi secara inklusif.
YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menzahirkan rasa syukur atas pelbagai inisiatif khas diumumkan untuk Johor melibatkan aspek pembangunan infrastruktur, kesihatan, pertanian dan pendidikan demi kesejahteraan rakyat.
Tumpuan diberikan melalui pelbagai projek dan peruntukan signifikan yang akan memperkukuh pertumbuhan Johor sebagai kuasa ekonomi negara di selatan tanah air dalam belanjawan kali ini amat dihargai Kerajaan Negeri.
Peranan aktif akan dimainkan Johor dalam memastikan semua inisiatif diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat menerusi pendekatan bersepadu antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi merealisasi agenda Maju Johor 2030.
Antara berita baik dalam Belanjawan 2026 untuk Johor adalah RTB Sungai Mengkibol di Kluang dan RTB Sungai Chaah di Segamat, pembinaan 10 sekolah baharu di beberapa daerah, laluan baharu dan bas tambahan untuk perkhidmatan bas henti-henti di Johor Bahru serta pembinaan blok tambahan Hospital Pontian serta penyegeraan Hospital Sultanah Aminah 2.
Belanjawan bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ turut mengiktiraf kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM37.1 bilion bagi separuh pertama tahun 2025 serta tambahan komitmen pelaburan baharu berjumlah RM29 bilion.
#JohorSafeZone
#Belanjawan2026
#BelanjawanMADANI
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor