JOHOR SASAR KEMBALI MENERAJUI INDUSTRI LADA NEGARA

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Pemindahan Teknologi (TOT) Penanaman Lada Negeri Johor di Segamat. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memperluaskan kawasan penanaman lada di negeri ini, sekali gus kembali sebagai peneraju industri lada di Malaysia pada masa akan datang.
Sebanyak RM500,000 disalurkan Kerajaan Negeri kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk tahun ini, bagi melaksanakan Program Peluasan Kawasan Penanaman Lada Negeri Johor dengan 9.7 hektar kawasan baharu telah dibangunkan sehingga September lalu.
Pembangunan yang melibatkan 43 pekebun kecil dan dua syarikat swasta itu menjadikan Johor kini mempunyai 30.9 hektar kawasan tanaman lada diusahakan oleh 121 pekebun seterusnya menjadi pengeluar kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Terengganu.
Dengan potensi besar industri berkenaan, Jawatankusa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor mencadangkan kepada Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM500,000 dalam Belanjawan Johor 2026 untuk meneruskan inisiatif tersebut.
Usaha yang dilakukan itu disifatkan Kerajaan Negeri sebagai penting bagi menyokong projek tanaman baharu, penyediaan input pertanian, khidmat teknikal dan latihan kepada pekebun kecil lada di negeri ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri yakin inisiatif berkenaan akan menjadi pemangkin kebangkitan industri lada Johor dan mengurangkan kebergantungan kepada import Semenanjung Malaysia yang kini mencecah 2,000 hingga 3,000 tan metrik setahun.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyempurnakan perasmian Program Pemindahan Teknologi (TOT) Penanaman Lada Negeri Johor di Segamat.
#JohorSafeZone
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor