JOHOR SEDIA JADI NEGERI PERTAMA LAKSANA SISTEM eCOSS

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Perasmian Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Selatan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bersedia menjadi negeri pertama melaksanakan projek rintis sistem penjejakan elektronik atau Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam usaha memperkukuh pemantauan terhadap barangan kawalan bersubsidi terutama minyak masak di peringkat peruncit.

 

Meskipun telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi Program Jualan Rahmah, Kerajaan Negeri tampil menawarkan diri bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan isu bekalan dan harga barangan keperluan harian sekali gus membantu mengatasi isu ketirisan serta penyelewengan barangan bersubsidi di pasaran terbuka.

 

Kerajaan Negeri turut bertindak proaktif dengan mengarahkan pengurusan pasar raya dan pemborong untuk menambah bekalan minyak masak secepat mungkin sekiranya stok sedia ada semakin berkurangan bagi memastikan tidak berlaku gangguan dalam rantaian bekalan barangan keperluan tersebut.

 

Sementara itu, Johor mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam sektor perdagangan borong dan runcit negara selepas menyumbang antara sembilan hingga 10 peratus daripada sejumlah RM1.77 trilion nilai jualan sektor berkenaan yang direkodkan pada tahun lalu.

Prestasi signifikan itu disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya hasil dasar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang inklusif merangkumi pemodenan cukai, pendigitalan, pembangunan modal insan serta pembangunan infrastruktur.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyempurnakan Perasmian Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour, hari ini.

 

Hadir sama, YB Tuan Lee Ting Han Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Senator Datuk Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta YBrs. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

#KarnivalKPDN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor