JOHOR SERIUS BENDUNG PENERBITAN MELAMPAUI BATAS

YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Penasihat MAINJ merangkap Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) merasmikan Majlis Penutup Seminar Serantau: Penerbitan Bebas, Menyatukan Naratif Menjaga Batas. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Negeri komited meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penerbitan bebas melampaui batas menerusi penganjuran Seminar Serantau: Penerbitan Bebas, Menyatukan Naratif, Menjaga Batas.
Dianjurkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Johor (JPSNJ) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), sebanyak 15 resolusi penting terhasil daripada sesi pembentangan dalam seminar berkenaan.
Antaranya resolusi utama yang dicapai adalah pengukuhan kesedaran ancaman kandungan melampaui batas selain peranan pelbagai pihak menyampaikan kefahaman terhadap bahaya penerbitan bebas diikuti dengan aspek penguatkuasaan yang menyeluruh dan bersepadu.
Selain itu, turut dicadangkan penubuhan Pusat Persuratan Islam Negeri Johor yang menghimpunkan pakar bagi menilai dan menapis kandungan penerbitan bebas agar berpaksi kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Seminar bersempena sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta dan 11 tokoh daripada pelbagai bidang dari empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang membahaskan pelbagai topik berkaitan penerbitan bebas.
Terdahulu, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Penasihat MAINJ merangkap Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) merasmikan Majlis Penutup Seminar Serantau: Penerbitan Bebas, Menyatukan Naratif Menjaga Batas, hari ini.
#PenerbitanBebas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor