JOHOR, SINGAPURA KUKUH KERJASAMA RENTAS SEMPADAN LONJAK JS-SEZ

YB Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan Taman Perindustrian ASEAN dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menarik pelaburan strategik dari negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menumpukan sektor bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, teknologi hijau dan ekonomi digital.

 

Direka untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan mempromosikan JS-SEZ sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan negara anggota RCEP, taman perindustrian berkenaan akan dilancarkan secara berperingkat bermula dengan projek perintis yang memfokuskan kepada sektor terpilih sebelum perluasannya akan dilakukan berdasarkan prestasi.

 

Dijangka memacu pemindahan teknologi, meningkatkan daya saing dan mempelbagaikan rantaian bekalan di seluruh rantau ASEAN, Kerajaan Negeri berharap insentif bersesuaian seperti pengecualian cukai, penyediaan bakat serta kelonggaran sementara terhadap peraturan pemulangan dana dapat ditawarkan bagi menarik pelabur asing ke taman perindustrian berkenaan.

 

Selain itu, Johor memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama Singapura menerusi penganjuran Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama sempena pelaksanaan JS-SEZ bagi merancakkan ekosistem pelaburan rentas sempadan yang berlangsung selama dua hari serta berjaya menarik penyertaan lebih 800 pelabur dan pemain industri mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi untuk terus saling bekerjasama.

 

Untuk rekod, Johor kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia selepas mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM98.9 bilion merangkumi RM48.5 bilion pada tahun lalu diikuti RM27.4 bilion suku pertama 2025 selain jangkaan tambahan RM23 bilion dalam perancangan untuk April ini yang mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap keupayaan dimiliki negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berucap pada Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam. Hadir sama, YB Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

#WTN
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor