JOHOR, SINGAPURA TEROKA KERJASAMA AGENDA KESIHATAN

Sesi pertemuan antara YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Singapura. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Singapura termasuk menerusi agenda kesihatan yang lebih inklusif dan mampan sejajar perancangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sesi pertemuan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Singapura dalam lawatan rasmi ke negara jiran telah menumpukan kepada usaha memperkasa kesihatan awam termasuk menangani cabaran kekurangan tenaga kerja sektor berkenaan.
Tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat dan memperkukuh perkhidmatan dengan perkongsian data serta pengalaman antara Johor dan Singapura yang dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada pembangunan sistem kesihatan inklusif dan responsif.
Menerusi JS-SEZ, Kerajaan Negeri mencadangkan pelaksanaan program latihan profesional dan peningkatan kemahiran tenaga kerja bersama institusi kesihatan terkemuka Singapura selain meneroka potensi pelaburan dalam teknologi perubatan, pelancongan serta pembangunan bakat secara lebih strategik dan bersepadu.
Selain itu, kawasan JS-SEZ juga dicadangkan untuk dijadikan platform pelaksanaan dasar kesihatan progresif menerusi pendekatan ‘sandbox’ dalam menangani isu pengambilan tenaga kerja kesihatan melalui saluran rasmi berpaksikan kerangka kerjasama tersusun dan telus.
Kerajaan Negeri berkeyakinan pertemuan dan perbincangan bersama Singapura akan menjadi asas kepada kerjasama kesihatan yang lebih mampan dan menyeluruh sekali gus memperkukuh perkhidmatan serta memperluas akses kepada rakyat Johor.
Terdahulu, Menteri Besar Johor menjadi penerima ke-82 sekali gus anak Johor pertama dan rakyat Malaysia kesembilan yang menerima pengiktirafan Felo Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF) serta menerima jemputan TYT Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar Singapura bagi lawatan rasmi selama tiga hari di negara republik itu.
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#FeloLKYEF
#KesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor