JOHOR TANGANI KONFLIK MANUSIA, GAJAH LIAR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke JES bagi meninjau projek pemuliharaan gajah di negeri ini. | Foto Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh usaha dalam menangani isu konflik antara manusia dan gajah liar menerusi strategi komprehensif dengan kerjasama pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian yang terbaik dan mampan.
Justeru, sebagai langkah jangka masa pendek bagi menangani isu ini, Kerajaan Johor akan meningkatkan kawalan di kawasan hotspot, menambah kekuatan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta memindahkan gajah liar ke lokasi lebih sesuai dengan habitat mereka.
Selain itu, satu Food Bank Gajah juga akan dibangunkan di sempadan koridor hidupan itu sebagai usaha untuk menyediakan sumber makanan alternatif, selain memperkasa peranan Santuari Gajah Johor (JES) sebagai pusat pemuliharaan dan destinasi ekopelancongan di Johor.
Inisiatif pemasangan kolar satelit pada gajah liar juga akan dilaksanakan bagi memantau pergerakan serta membina halangan fizikal di Hutan Simpan Kekal (HSK) negeri ini bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar itu ke kawasan penempatan penduduk.
Kombinasi komitmen bersepadu antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sektor swasta serta institusi penyelidikan juga menjadi antara penyelesaian yang diperlukan bagi mengimbangi pemuliharaan alam dan keselamatan penduduk, memandangkan negeri ini menjadi habitat kepada 120 hingga 160 ekor gajah liar.
Usaha murni Kerajaan Negeri dalam menangani konflik manusia dan gajah liar bukan sahaja menterjemah komitmen dalam memastikan keselamatan penduduk setempat tetapi turut menjadi strategi bagi melindungi populasi gajah yang menjadi khazanah alam di Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke JES bagi meninjau projek pemuliharaan serta usaha menangani konflik manusia dan gajah di negeri ini.
#SantuariGajahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor