JOHOR TARIK PELABUR GLOBAL BERKUALITI, PERKUKUH PERANAN SEBAGAI GERBANG EKONOMI SERANTAU

Usaha berterusan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina ekosistem pelaburan yang mampan, berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat demi mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Lebih 30 syarikat pelabur antarabangsa merentasi sembilan sektor utama membabitkan bidang teknologi, tenaga dan pembuatan maju telah dikenal pasti sebagai antara prospek pelaburan berpotensi tinggi menerusi sesi libat urus strategik Kerajaan Johor bersama United Overseas Bank (UOB) di Shanghai, China.
Sesi ini membuka ruang kepada padanan pelabur yang serius untuk berkembang di rantau ini, sekali gus memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk mampu memberi nilai tambah sebenar kepada ekonomi negeri dan manfaat secara langsung kepada Bangsa Johor.
Pendekatan Kerajaan Johor yang menekankan pemilihan pelaburan berkualiti tinggi bukan sahaja berupaya mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi tetapi juga berupaya meningkatkan pendapatan rakyat serta merancakkan pertumbuhan sektor strategik negeri.
Tumpuan turut diberikan kepada sektor berimpak tinggi melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan industri bernilai tinggi dan pengukuhan rantaian bekalan bagi memastikan Johor terus kekal berdaya saing di peringkat global.
Pada masa sama, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus diperkukuh sebagai platform strategik yang membuka akses luas kepada pelabur antarabangsa untuk menembusi pasaran ASEAN melalui Johor.
Menerusi libat urus berkenaan, peranan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara pelaburan turut dikongsi bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek, sekali gus memastikan pelaburan yang dibawa masuk dapat direalisasikan dengan lebih efisien.
Selain itu, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) pula akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang selari dengan keperluan industri, sekali gus menjamin peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada Bangsa Johor.
Usaha berterusan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina ekosistem pelaburan yang mampan, berimpak tinggi dan berorientasikan rakyat demi mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#JTDC
#IMFCJ
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



