JOHOR TARIK PELABURAN BERNILAI RM1.34 BILION DARI SINGAPURA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Encik Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Singapura. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Komitmen Johor menjadi kuasa besar baharu ekonomi negara terus mencipta pencapaian positif apabila 70 syarikat dari Malaysia, Singapura, China, Jerman, Britain dan Belanda menunjukkan minat melabur di negeri ini, menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

 

Daripada jumlah tersebut, lima syarikat merupakan dari Singapura menyumbang nilai pelaburan berjumlah sekitar RM1.34 bilion dan tambahan minat sebanyak RM78 juta dalam fasa kedua yang mencerminkan keyakinan tinggi para pelabur termasuk negara jiran terhadap potensi Johor.

 

Perkembangan tersebut dikongsi sempena hari pertama lawatan rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama delegasi Kerajaan Negeri ke Singapura sebagai penerima Felo Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF) yang turut mengadakan pertemuan bersama TYT Encik Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Singapura.

 

Dalam pertemuan bersama Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Kerajaan Negeri telah berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibangunkan dengan sokongan perunding lantikan Kerajaan Malaysia.

 

Turut dibincangkan beberapa cadangan strategik membabitkan Johor dan Singapura iaitu penubuhan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan serta cadangan membina laluan Sistem Transit Rapid (RTS) kedua di sebelah barat Johor.

 

Selain itu, perbincangan turut menyentuh isu kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas dan mewujudkan sistem pengangkutan lebih cekap serta inklusif yang membawa kepada penzahiran kesediaan Johor melaksanakan dasar progresif demi kesejahteraan rakyat.

 

Kerajaan Negeri percaya kerjasama strategik antara Johor, Malaysia dan Singapura mesti terus diperkasa bagi menjayakan agenda pembangunan inklusif, adil dan lestari sekali gus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan lebih makmur.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor menjadi penerima ke-82 LKYEF sekali gus rakyat Johor pertama dan rakyat Malaysia kesembilan menerima pengiktirafan berkenaan yang dipilih berdasarkan rekod pencapaian cemerlang kepada pembangunan negara serta menyumbang pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

 

#WTN
#JohorxSingapura
#FeloLKYEF
#JS-SEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor