JOHOR TERAJUI PENDIDIKAN MASA HADAPAN MENERUSI SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi oleh YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir Sesi Libat Urus SRBJ 2025 Bersama Warga Pendidik dan Ibu Bapa di Dewan Sri Tasek, SMK Tasek Utara. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Komitmen Kerajaan Negeri menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada rakyat menerusi inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) diilhamkan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor meletakkan Johor sebagai peneraju pendidikan berasaskan teknologi di negara ini.

 

Langkah penting ke arah menambah baik sistem pendidikan Johor bersifat inklusif, moden dan bertaraf dunia bagi melahirkan generasi berdaya saing dengan jaminan kebolehpasaran modal insan itu mendapat dukungan daripada Institusi Diraja Johor di samping sokongan Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan lain.

 

Bagi menyokong agenda pendidikan SRBJ berteraskan teknologi, sebanyak 2,496 unit peranti iPad diagihkan untuk kegunaan 2,264 murid dan 213 guru dari empat sekolah SRBJ iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara di Johor Bahru serta SMK Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang.

 

Penyerahan peranti sumbangan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama strategik bersama Apple Education dan tajaan QSR Brands (M) Holdings Bhd. itu menyaksikan SRBJ, sekolah harian pertama di negara ini dan satu-satunya yang diiktiraf sebagai ‘Apple Distinguished Schools’.

 

Selain itu, QSR Brands turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2 juta kepada YRZSNJ bagi Inisiatif Transformasi Digital Pendidikan SRBJ melibatkan penyediaan kemudahan dan teknologi terkini yang akan mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) kondusif serta interaktif di empat sekolah terlibat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi oleh YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir Sesi Libat Urus SRBJ 2025 Bersama Warga Pendidik dan Ibu Bapa di Dewan Sri Tasek, SMK Tasek Utara, hari ini.

 

#SRBJ
#STEM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatpantas
#MajuJohor