JOHOR TERIMA RM70.12 JUTA PACU SEKTOR AGROMAKANAN


Kunjungan hormat YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke atas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Kota Iskandar.

 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM70.12 juta kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek pembangunan meliputi sektor ternakan, tanaman, akuakultur dan memperkasa industri nanas selain pemerkasaan pemasaran dan aktiviti eksport hasil pertanian serta pembangunan usahawan agro di seluruh Johor pada tahun ini.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM19.2 juta diperuntukkan di bawah Program Kerjasama KPKM dengan Kerajaan Negeri Bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Ke Arah Keterjaminan Makanan Negara yang merupakan inisiatif ‘quick win’ melalui Belanjawan 2024 bagi aktiviti pertanian, agromakanan dan agropelancongan di seluruh negara dengan peruntukan RM150 juta.

 

Peruntukan berkenaan mencerminkan tindakan proaktif diambil Kerajaan Persekutuan melalui KPKM untuk menyokong usaha Kerajaan Johor dalam meningkatkan pelaksanaan program pembangunan tanah terbiar supaya wujud kesinambungan bagi memastikan tanah pertanian dapat dibangunkan secara optimum.

 

Untuk rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor merekodkan nilai sebanyak RM142.1 bilion iaitu menyumbang 9.4 peratus kepada KDNK Nasional pada tahun 2022. Sektor pertanian merupakan penyumbang ketiga tertinggi sebanyak 12.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Johor dengan nilai RM17.3 bilion, meningkat daripada RM17 bilion pada tahun 2021.

 

Terdahulu, berlangsungnya kunjungan hormat YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke atas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Kota Iskandar. Hadir sama, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor