JOHOR TERUS JADI DESTINASI PILIHAN PADA HUJUNG MINGGU TERAKHIR CUTI PERSEKOLAHAN

Antara pengalaman yang paling mengujakan ialah peluang mengunjungi Zoo Johor pada waktu malam yang memberikan suasana yang berbeza, selain membolehkan beliau dan keluarga menikmati tarikan rekreasi di negeri ini dengan lebih santai. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Hujung minggu terakhir cuti persekolahan pertengahan tahun menyaksikan Johor terus menerima kehadiran pengunjung yang mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga di pelbagai lokasi rekreasi, pelancongan dan tarikan awam di seluruh negeri ini.
Kehadiran berterusan pengunjung sehingga penghujung musim cuti ini bukan sahaja memeriahkan sektor pelancongan negeri, malah memberi limpahan positif kepada pengusaha tempatan serta merangsang aktiviti ekonomi di pelbagai kawasan tumpuan di seluruh negeri ini.
Bagi Nur Syafiqah Ahmad, 31, pengunjung dari Kuala Lumpur, memberitahu kepelbagaian tarikan rekreasi, gastronomi, warisan serta kemudahan yang lengkap menjadikan Johor antara destinasi pilihan keluarganya setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.
Menurutnya, antara pengalaman yang paling mengujakan ialah peluang mengunjungi Zoo Johor pada waktu malam yang memberikan suasana yang berbeza, selain membolehkan beliau dan keluarga menikmati tarikan rekreasi di negeri ini dengan lebih santai.
Teo Jun Wei, 28, anak jati Johor Bahru berkata, beliau gemar meluangkan masa bersama keluarga di sekitar bandar raya ini kerana pelbagai kemudahan dan lokasi rekreasi yang tersedia termasuk Taman Awam Danga yang telah dibuka sejak 29 Mei lalu.
Selain itu, perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) yang semakin cekap turut memudahkan saudara-mara dari Kuala Lumpur berkunjung ke Johor, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan sepanjang musim cuti kali ini.
Beliau turut berpandangan pembangunan infrastruktur serta kemudahan yang semakin lengkap di Johor memberi manfaat besar kepada rakyat, selain ia juga turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Manakala pengusaha inap desa di Mersing, Mohd Azlan Rahman, 51, berkata kadar tempahan di tempat penginapannya meningkat sepanjang tempoh cuti persekolahan tahun ini, sekali gus memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi setempat.
Beliau turut menghargai inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang menyalurkan bantuan sebanyak RM300 kepada pengusaha sektor pelancongan kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos operasi serta menyokong kelangsungan perniagaan.
Johor kini turut menawarkan pelbagai produk pelancongan baharu yang menawarkan kepelbagaian pengalaman kepada pengunjung sepanjang musim cuti persekolahan termasuk Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) dan Muzium Tokoh di Johor Bahru yang mengetengahkan sejarah, warisan serta identiti Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#MajesticJohor
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



