JOHOR TIDAK KETANDUSAN QARI, QARIAH DAN HUFFAZ

Johor terus melahirkan generasi yang mencintai al-Quran, seperti Mohamad Yusuf Kasim (kiri) dan Megat Ahmad Zulfa Juwahir (kanan). | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Johor diyakini akan terus melahirkan generasi mencintai al-Quran termasuk golongan muda seterusnya tidak ketandusan qari dan qariah serta huffaz berbakat kerana sistem pendidikan Islam berusia lebih 100 tahun di negeri ini.
Keyakinan tersebut dizahirkan Mohamad Yusuf Kasim, 34, selain didukung dengan peningkatan jumlah pelajar Akademi al-Quran Negeri Johor yang mencerminkan komitmen berterusan dalam melahirkan qari dan qariah serta huffaz berkualiti.
Selain itu, tampil sebagai Johan Menunggu pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor pada tahun ini disifatkan tidak memberi kelebihan kepadanya berikutan setiap peserta memiliki peluang sama dalam pertandingan berkenaan.
Sementara itu, bagi Megat Ahmad Zulfa Juwahir, 14, menyifatkan penampilan sulung pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor kali ini tidak memberi tekanan meskipun menjadi tumpuan sebagai antara peserta muda.
Pelajar Maahad Tahfidzul Quran Al-Misykat yang mula menghafaz al-Quran sejak usia sembilan tahun itu mahu menimba pengalaman bersama huffaz lebih senior, namun bersedia menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik.
Majlis Tilawah Al-Quran kali ke-69 dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor Tahun 2025/1446H kini berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, bermula 17 hingga 20 Februari ini, melibatkan penyertaan 21 qari dan qariah serta 36 peserta hafazan al-Quran.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor