JOHOR UMUM BANTUAN KHAS AIDILFITRI SEBULAN GAJI

Pemberian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran dan pelaksanaan dasar pembangunan negeri. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 sebanyak sebulan gaji kepada penjawat awam negeri, tertakluk kepada syarat dan ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026.

 

Keputusan berkenaan dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen berterusan yang diberikan oleh penjawat awam dalam memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat di negeri ini.

 

Seramai 18,455 penjawat awam tetap dan kontrak bakal menerima manfaat bantuan khas tersebut yang melibatkan 11,271 penjawat awam negeri, 6,192 warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 992 kakitangan Badan Berkanun Negeri.

 

Pemberian bantuan khas kewangan
ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran dan pelaksanaan dasar pembangunan negeri.

 

Selaras dengan keputusan tersebut, bayaran Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 akan dibuat pada 5 Mac 2026 atau pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik masing-masing.

 

Inisiatif ini diharapkan dapat menyuntik motivasi kepada seluruh penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti, seterusnya memperkukuh agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor secara keseluruhan.

 

Kerajaan Negeri juga yakin semangat kebersamaan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan warga perkhidmatan awam akan terus menjadi pemacu utama dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Johor yang lebih mampan dan inklusif.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKhasAidilfitri
#PenjawatAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor