JOHOR UNJUR HASIL RM3.6 BILION, PULANG SEMULA KEPADA RAKYAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor optimis hasil negeri berpotensi melebihi RM3.6 bilion tahun ini, sekiranya momentum kutipan sekitar RM300 juta sebulan dapat dikekalkan secara konsisten sepanjang tahun.

 

Prestasi semasa menunjukkan kutipan hampir RM600 juta dalam tempoh dua bulan pertama, sekali gus memperkukuh unjuran hasil negeri mampu melepasi sasaran asal sebanyak RM2.7 bilion pada tahun ini.

 

Pencapaian tahun lalu yang mencecah RM2.6 bilion menjadi petunjuk kukuh bahawa hasil negeri berpotensi melepasi paras RM3 bilion tahun ini, sekiranya momentum pertumbuhan ekonomi dan pelaburan dapat terus diperkukuh secara mampan.

 

Kerajaan Negeri dengan perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, akan menyalurkan semula peningkatan hasil itu kepada Bangsa Johor melalui pelaksanaan inisiatif kebajikan dan bantuan bersasar.

 

Pendekatan pengurusan fiskal berhemah, pertumbuhan pelaburan yang mampan serta kerjasama semua pihak diyakini mampu mencatat sejarah baharu dalam pencapaian hasil negeri pada tahun ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana, Johor Bahru.

 

#JohorSafeZone
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor