JOM BACA BERSAMA 10 MINIT JADI PROGRAM BULANAN

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit di LEGOLAND Malaysia Resort. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Selaras dengan usaha memperkukuh budaya ilmu dan literasi dalam kalangan rakyat, Kerajaan Negeri menjadikan program Jom Baca Bersama 10 Minit sebagai acara bulanan dilaksanakan pada setiap hari Selasa minggu pertama.

 

Inisiatif yang melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat itu merupakan antara usaha jangka panjang memperkukuh pendidikan sepanjang hayat serta melahirkan rakyat berdaya saing dalam dunia moden berasaskan pengetahuan.

 

Pelaksanaan program telah bermula di LEGOLAND Malaysia Resort yang berjaya menarik penyertaan lebih 500 peserta dari sekolah daerah Johor Bahru dan Kulai menyertai sesi bacaan dalam suasana santai serta menyeronokkan.

 

Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan program secara bulanan akan membentuk tabiat membaca secara berterusan di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan ilmu dan literasi dalam membina masyarakat berpengetahuan.

 

Program memasuki penganjuran kali ke-12 itu turut menjadi platform mengajak semua lapisan masyarakat berhenti sebentar dari melakukan aktiviti atau pekerjaan untuk bersama membaca secara serentak di seluruh negeri.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit di LEGOLAND Malaysia Resort. Hadir sama, YM Puan Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ).

 

#JomBacaBersama
#10Minit
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor