JOMSTAY JOHOR PLATFORM PELANCONGAN PINTAR PERTAMA DI MALAYSIA


Platform pelancongan pintar pertama dalam negara, Jomstay Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Tourism Johor dengan kerjasama Jomstay Digital Technology (M) Sdn. Bhd. melancarkan Jomstay Johor, platform pelancongan pintar dan Kempen ‘Johor Safe Travel’ yang pertama di negara ini, sebagai persediaan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Jomstay Johor yang telah menarik 120,000 pelawat sehingga kini, merupakan platform penyelesaian pelancongan pintar direka untuk meningkatkan pengalaman perjalanan pelancong dengan menawarkan lebih 1,200 produk dan destinasi.

 

Kempen ‘Johor Safe Travel’ pula menterjemahkan komitmen negeri ini menyediakan persekitaran selamat bagi menggalakkan pelancong mengutamakan keselamatan dengan pembelian insurans perjalanan melalui platform Jomstay Johor.

 

Kerajaan Negeri turut optimis insentif khas duti hiburan bagi taman tema pada kadar lima peratus secara kekal mulai 1 Januari ini seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025, bakal menarik lebih ramai pelancong dari dalam serta luar negeri dan negara ke Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor melancarkan platform Jomstay Johor dan Kempen ‘Johor Safe Travel’ di Mall of Medini, hari ini.

 

Hadir sama, YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri kawasan Kota Iskandar; Bapak Wahyu Kusumanegara, wakil rasmi Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru; YBhg. Sharil Nizam Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor serta YBhg. Fairuz Iskandar Abdul Aziz, Pengarah Urusan Jomstay Digital Technology (M) Sdn. Bhd.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor