JPG PERKUKUH KEDUDUKAN, PACU STRATEGI TENAGA BOLEH BAHARU

Ditubuhkan pada 2019, JPGGV yang berperanan sebagai platform utama kumpulan bagi inisiatif tenaga boleh baharu termasuk pengeluaran biometana, penaiktarafan biogas serta penukaran hasil sampingan minyak sawit kepada penyelesaian tenaga rendah karbon. | Foto oleh JPG
#IskandarPuteri – Johor Plantations Group Berhad (JPG) terus memperkukuh kedudukan strategiknya dalam sektor tenaga boleh baharu dengan menjadikan JPG Greenergy Ventures Sdn Bhd (JPGGV) sebagai anak syarikat milik penuhnya, sekali gus mengukuhkan teras pertumbuhan syarikat berkenaan.
JPG dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah proaktif itu susulan pelaksanaan perjanjian penjualan saham oleh JPG bagi mengambil alih baki 45 peratus kepentingan ekuiti dalam JPGGV daripada MTC Orec Sdn Bhd.
Ditubuhkan pada 2019, JPGGV yang berperanan sebagai platform utama kumpulan bagi inisiatif tenaga boleh baharu termasuk pengeluaran biometana, penaiktarafan biogas serta penukaran hasil sampingan minyak sawit kepada penyelesaian tenaga rendah karbon.
Pemilikan penuh tersebut turut membolehkan JPG menetapkan hala tuju strategik yang lebih jelas serta meningkatkan kawalan operasi terhadap pembangunan dan peluasan portfolio bioenergi mereka.
Langkah berkenaan juga membolehkan JPG memperkemas pelaksanaan, mengoptimumkan peruntukan modal serta mengintegrasikan inisiatif tenaga boleh baharu dengan lebih berkesan dalam operasi teras perladangannya.
Pada masa sama, langkah berkenaan turut mengukuhkan penjajaran JPG dengan agenda peralihan tenaga negara serta aspirasi sifar bersih Malaysia, di samping menyokong penciptaan nilai jangka panjang melalui pengurangan intensiti karbon dan kepelbagaian aliran pendapatan.
JPG juga akan terus menilai peluang bagi memperluas keupayaan tenaga boleh baharu dan bioenergi selaras dengan strategi pertumbuhan serta kemampanan jangka panjang kumpulan syarikat berkenaan.
#JohorSafeZone
#JohorPlantations
#JPGGreenergy
#GreenEnergy
#RenewableEnergy
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



