JSDEAF SASAR RM500,000 SEMPENA ‘BIM RIDE AND FUN 2024’


Karnival ‘BIM Ride & Run 2024’ menjadi platform kepada persatuan itu untuk mendapatkan sokongan pelbagai pihak dalam perkembangan sukan bagi komuniti orang pekak di Johor. | Foto Nor Nazreen.

 

Kutipan sebanyak RM500,000 disasarkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Johor (JSDeaf) pada karnival ‘BIM Ride & Run 2024’ yang akan berlangsung di Sunway Bigbox Hotel, Iskandar Puteri dari 27 hingga 29 September 2024.

 

Chan Kok Seng, Presiden JSDeaf memaklumkan ianya bagi menampung perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan JSDeaf termasuk memperkukuhkan sokongan terhadap pembangunan atlet, sekretariat, jurulatih, peralatan sukan serta mempromosikan aktiviti komuniti pekak kepada golongan belia.

 

Karnival ini menjadi platform kepada persatuan itu untuk mendapatkan sokongan pelbagai pihak dalam perkembangan sukan bagi komuniti orang pekak di Johor, terutamanya sebagai persiapan ke Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XXII) pada tahun 2025 di Kuching, Sarawak.

 

Karnival tersebut juga merupakan sebahagian daripada pengisian sambutan ulang tahun ke-10 JSDeaf, dengan pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan seperti BIM Game, Treasure Hunt, demonstrasi batik, senamrobik dan pameran dengan sasaran seramai 1,000 peserta.

 

Selain itu, penganjuran karnival bersempena dengan Hari Orang Pekak Antarabangsa pada bulan September setiap tahun itu juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti istimewa tersebut.

 

JSDeaf turut menzahirkan penghargaan kepada Affin Islamic dan Sunway Iskandar Puteri atas komitmen membantu mereka dalam mendapatkan sumbangan dan selain berharap kerjasama dijalin dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor