JTDC BANGUNKAN TENAGA MAHIR TEMPATAN


Reruai Unit Strategik Modal Insan Johor sempena pelancaran Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya di Persada Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang bakal dilancarkan pada Ahad ini dilihat berupaya membangunkan tenaga kerja bakat tempatan khususnya bagi golongan muda bagi memastikan kumpulan tersebut lebih berkemahiran serta berdaya saing dan seterusnya mampu memenuhi ‘selera’ permintaan pasaran pekerjaan di Johor yang semakin meningkat.

 

Ia termasuk usaha membimbing hala tuju kerjaya membabitkan sasaran 102,000 anak Johor yang terdiri daripada 48,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); 5,000 penuntut semasa institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan politeknik selain 29,000 graduan IPTA serta tidak dilupakan kumpulan 20,000 golongan muda yang memilih untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mengatasi isu ‘brain drain’ walaupun iklim ekonomi di negeri ini semakin memberangsangkan.

 

Meskipun kadar pengangguran di Johor mencatatkan penurunan kepada 2.6 peratus pada tahun 2023, langkah strategik penubuhan JTDC yang dicadangkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ini akan menawarkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi di dalam 10 sektor utama di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ).

 

Selain itu, penyertaan tenaga buruh di Johor juga meningkat kepada 71.3 peratus pada tahun lalu dengan sektor perkhidmatan dan jualan menjadi penyumbang utama. Ia sekali gus menjadikan penubuhan JTDC sebagai inisiatif yang ideal dan berupaya melonjak pasaran pekerja di sektor pembuatan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan perniagaan, logistik dan ekonomi digital yang semakin berkembang pesar di negeri ini.

 

Isu ketidakpadanan kerjaya yang dihadapi para graduan turut dipandang serius oleh Kerajaan Negeri yang meminimakan masalah itu menerusi peranan signifikan yang akan dimainkan oleh JTDC melalui pelbagai program pembangunan dan latihan diselaraskan berdasarkan kepada kelayakan dan kemahiran tenaga kerja yang diperlukan oleh pihak majikan.

 

Justeru, penubuhan JTDC mampu menjadi langkah konkrit bukan sahaja untuk menampung permintaan tenaga kerja tetapi pada masa sama berupaya mengatasi penghijrahan bakat tempatan ke luar negeri selain mewujudkan industri baharu di Johor bagi merealisasi hasrat menjadi negeri maju pada tahun 2030.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor