JTDC PEMACU UTAMA LAHIR BAKAT, TENAGA KERJA MAHIR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diberikan taklimat mengenai hala tuju dan gerak kerja strategik selain mengadakan tinjauan perkembangan projek pembinaan pejabat operasi JTDC. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) diyakini terus menjadi pemacu utama dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang melahirkan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik serta bersedia menyambut gelombang pelaburan masa hadapan.

 

Merupakan inisiatif penting di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), JTDC meletakkan komitmen untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sebagai sasaran utama yang telah dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini.

 

JTDC juga menjalin kerjasama langsung antara pelabur, syarikat, enam universiti serta 15 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih di Johor yang menjadi strategi utama dengan sasaran seramai 10,000 graduan akademik dan TVET setiap tahun akan digerakkan melalui platform seperti Pejabat JTDC dan Karnival Kerjaya Premium.

 

Selain itu, JTDC sedang melaksanakan transformasi menyeluruh melibatkan tujuh institusi pendidikan dan latihan di bawah Kerajaan Negeri yang menyasarkan 3,000 graduan berkualiti setiap tahun melalui penaiktarafan silibus, fasiliti dan tenaga pengajar.

 

Pendekatan ‘direct intervention’ menerusi Dana Latihan dan Penempatan Kerja turut diperkenalkan JTDC bagi membantu anak muda yang memerlukan sokongan lebih langsung dengan sasaran 5,000 pelatih pada tahun ini melalui geran latihan, subsidi, karnival kerjaya serta galakan penggunaan portal kerjaya JTDC.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diberikan taklimat mengenai hala tuju dan gerak kerja strategik selain mengadakan tinjauan perkembangan projek pembinaan pejabat operasi JTDC di Medini 9, Khamis lalu. Turut hadir, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#JTDC
#GajiPremium
#MDEC
#MIDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor