JTDC PERLUAS JARINGAN PENDIDIKAN GLOBAL MENERUSI KOLABORASI UTM–UNIVERSITI PEKING

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Universiti Peking yang berlangsung di UTM Kuala Lumpur. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) memperkasa jaringan kerjasama strategik antarabangsa menerusi kolaborasi akademik dan penyelidikan antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Peking, China.

 

Kerjasama dengan universiti nombor satu di China serta antara yang terbaik di dunia ini mencerminkan keyakinan akademia luar negara terhadap keupayaan, kepakaran dan reputasi UTM dalam ekosistem pendidikan tinggi antarabangsa.

 

Selain itu, UTM akan memperoleh akses kepada ekosistem penyelidikan dan kepakaran bertaraf dunia di Universiti Peking yang menyokong agenda inovasi negara khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan bioperubatan, kejuruteraan elektrik dan elektronik, sains bahan, alam sekitar serta tenaga.

 

Langkah ini bakal mengukuhkan kedudukan UTM sebagai hab inovasi dan diplomasi pendidikan antarabangsa di samping membuka peluang yang lebih luas kepada bakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran, pendedahan global serta daya saing.

 

Kerjasama strategik antara UTM dan Universiti Peking memberi tumpuan kepada penyelidikan bersama, pembangunan bakat, mobiliti akademik dan pelajar, penyeliaan pascasiswazah serta pembangunan program akademik berimpak tinggi selari dengan keperluan masa hadapan.

 

Kolaborasi yang terjalin juga dijangka menyumbang secara signifikan kepada agenda pendidikan Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan anak-anak Bangsa Johor berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia memacu pembangunan negeri.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Universiti Peking dengan masing-masing diwakili oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM serta YBrs. Prof Zhang Jin, Naib Presiden Universiti Peking di UTM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#MajlisPembangunanBakatJohor
#UniversitiTeknologiMalaysia
#BangsaJohorSejahtera
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor