JTDC, YAYASAN PENERAJU CUNGKIL BAKAT AKAUNTAN DI JOHOR

Forum ‘Supporting Economic Growth in JS-SEZ : Accountants as Business Enablers’ anjuran MIA Cawangan Johor di Cerebrum, Menara KOMTAR JBCC. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi untuk pembangunan bakat dalam bidang perakaunan sebagai menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Inisiatif berkenaan merupakan langkah signifikan diambil Kerajaan Negeri bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi seterusnya memenuhi permintaan industri yang turut disokong komitmen sedia diberikan oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) Cawangan Johor.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, pihak YP menawarkan sebanyak 600 penempatan untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan dalam bidang perakaunan kepada anak Bumiputera Johor khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan dan golongan profesional melalui platform Peneraju.org.

 

Pembiayaan pendidikan itu memberi keutamaan kepada kelayakan program seperti ‘Association of Chartered Certified Accountant’ (ACCA) dan ‘The Institute of Chartered Accountants in England and Wales’ (ICAEW) melibatkan ‘Approved Learning & Training Institution’ (ALTIs) oleh YP.

 

Langkah tersebut sekali gus mencerminkan kesungguhan melahirkan modal insan yang berkemahiran dan memiliki sijil profesional diiktiraf serta menyokong agenda JS-SEZ dengan menyediakan keperluan tenaga kerja bidang kewangan terutama pengurusan akaun kepada pelabur.

 

Terdahulu, berlangsungnya simbolik jalinan kerjasama antara JTDC diwakili oleh YBrs. Encik Mohammad Najmie Noordin, Ketua Pegawai Bakat Johor Corporation (JCorp) dan YBrs. Encik Ibrahim Sani, Ketua Pegawai Eksekutif YP sempena Forum ‘Supporting Economic Growth in JS-SEZ : Accountants as Business Enablers’ anjuran MIA Cawangan Johor di Cerebrum, Menara KOMTAR JBCC, hari ini.

 

#JTDCxYP
#BakatAkauntan
#JS-SEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor