KEBAJIKAN CALON SPM TERJEJAS BANJIR TERJAGA
#KotaTinggi – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sentiasa memberikan keutamaan terhadap kebajikan 38 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas akibat banjir di negeri ini.
Inisiatif diambil adalah penyediaan tempat ulang kaji pelajaran yang kondusif terutama melibatkan sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti penggunaan pusat sumber sekolah untuk keselesaan calon membuat persiapan.
Daripada keseluruhan calon yang terjejas banjir, 12 daripadanya merupakan calon SPM di daerah Kota Tinggi diikuti Kulai (lapan), Pontian dan Johor Bahru (tujuh) serta Kluang (empat).
Selain itu, keseluruhan 669 Sekolah Kebangsaan (SK) yang telah digazetkan sebagai PPS akan dikekalkan tanpa penambahan sekolah baharu berikutan situasi banjir masih terkawal.
Bagaimanapun, orang ramai serta pengurusan dan pentadbiran sekolah dinasihatkan agar terus berwaspada dan bersiap sedia bagi menghadapi jangkaan gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL).
Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor diiringi oleh YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di Kota Tinggi.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor